Perlembagaan






FASAL 1        NAMA
FASAL 2        TEMPAT URUSAN
FASAL 3        TUJUAN/MATLAMAT
FASAL 4        KEAHLIAN
FASAL 5        SUMBER KEWANGAN
FASAL 6        PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI
FASAL 7        MESYUARAT AGUNG TAHUNAN
FASAL 8        JAWATANKUASA
FASAL 9        KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI
FASAL 10     KEWANGAN
FASAL 11     JURUAUDIT
FASAL 12     PEMEGANG AMANAH
FASAL 13     TAFSIRAN UNDANG-UNDANG
FASAL 14     PENASIHAT / PENAUNG
FASAL 15     LARANGAN
FASAL 16     PINDAAN PERLEMBANGAN
FASAL 17     PEMBUBARAN
FASAL 18     LOGO



FASAL 1        NAMA
Pertubuhan ini dikenali dengan nama Persatuan Juruteknik Komputer Negeri Melaka (Melaka Computer Technician Association dan nama singkatan MECTAS.
 FASAL 2       TEMPAT URUSAN  
                        
(1)   Alamat berdaftarPpertubuhan ialah No. 8, Jalan TP 23, Taman Terendak Permai, 76300 Sungai Udang, Melaka atau di tempat lain yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa.
(2)      Alamat berdaftar dan alamat surat menyurat Pertubuhan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.
    
FASAL 3        TUJUAN/MATLAMAT
                       
(1)       Mengeratkan hubungan di antara semua Juruteknik Komputer JPN dengan Juruteknik Komputer dari jabatan lain supaya dapat bertukar-tukar ilmu dan berkongsi kemahiran dalam bidang ICT.
(2)   Mengadakan aktiviti untuk ahli-ahli dalam bidang kebudayaan, rekreasi, kerohanian dan lain-lain.
(3)    Memberi peluang kepada ahli-ahli terlibat dalam program latihan kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan.
(4)     Menjalankan aktiviti-aktiviti lain yang dapat memperkukuh sumber kewangan persatuan.
(5)    Berusaha mempastikan penggunaan sepenuhnya sumber tenaga kakitangan berkomputer dalam sektor awam.
(6)       Membantu kerajaan dalam usaha untuk melahirkan generasi celik IT dengan memanfaatkan segala kemudahan yang telah disediakan.
(7)      Mengadakan program-program yang boleh merapatkan hubungan diantara Juruteknik Komputer Negeri Melaka dengan Juruteknik Komputer negeri-negeri lain supaya dapat menambah pengetahuan disamping berkongsi pendapat.



FASAL 4        KEAHLIAN



(1)          Keahlian Pertubuhan adalah seperti berikut :
·     Warganegara Malaysia
·     Berumur 18 tahun ke atas
·     Bermastautin di Negeri Melaka
·    Juruteknik Komputer dari mana-mana jabatan kerajaan yang berkhidmat di Negeri Melaka.
(2)     Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dibuat melalui borang yang disediakan oleh Pertubuhan, dicadangkan dan disokong oleh ahli dan dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budi bicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.
(3)    Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang tersebut di atas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran pertama seperti yang ditetapkan diterima menjadi ahli Pertubuhan dan berhaklah ia sebagai ahli.
  

FASAL 5        SUMBER KEWANGAN



Sumber kewangan Pertubuhan ini adalah dari :         
                                   
(1)     BAYARAN MASUK   : RM 5.00 (Ringgit Malaysia Lima Sahaja)  

(2)   YURAN TAHUNAN    : RM 55.00 (Ringgit Malaysia Lima Puluh Lima Sahaja).



(a)    Yuran tahunan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari terlebih dahulu dalam tempoh 90 hari dari awal tiap-tiap tahun.

(b)    Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih dari dua tahun akan menerima surat peringatan yang ditandatangan oleh atau wakil Setiausaha, dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga  hutangnya telah dijelaskan.

(c)   Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih dari  jumlah yuran bagi tiga tahun dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuas hati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.
(d)  Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.
(e)    Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yangtertentu boleh dipungut dengan persetujuan Mesyuarat Agung. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran bulanan.

 (3)   SUMBANGAN
Pertubuhan ini dibenarkan untuk menerima sumbangan  kewangan/harta dan ianya wajib diisytiharkan di dalam Penyata Tahunan Pertubuhan.
 



FASAL 6        PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN  AHLI



(1)  Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan segala hutangnya [jika ada].
(2)  Mana-mana ahli atau ahli jawatankuasa yang gagal mematuhi Perlembagaan Pertubuhan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik Pertubuhan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantungkan keahlian ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan Mesyuarat Agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.
 

FASAL 7        MESYUARAT AGUNG TAHUNAN

  

(1)    Pengelolaan Pertubuhan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali jumlah ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.
(2)       Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh tidak lebih dari 30 hari yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu, maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda Perlembagaan Pertubuhan.
(3)     Mesyuarat Agung Tahunan bagi Pertubuhan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat dari 31hb Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan ialah :

(a)  menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan Pertubuhan di dalam tahun lalu;

(b)    menerima  laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu;

(c)      memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan melantik Juruaudit untuk 2 tahun yang akan datang; dan

(d)     menguruskan  hal-hal  lain  yang  dibentangkan  di  dalam   mesyuarat itu. 
(4)     Setiausaha setelah mendapat persetujuan Jawatankuasa hendaklah menghantar kepada ahli-ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan satu notis dan agenda mesyuarat termasuk laporan serta penyata kira-kira Pertubuhan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan dokumen ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat berdaftar Pertubuhan.
(5)       Mesyuarat Agung Khas bagi Pertubuhan ini boleh diadakan :
(a)  Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa; atau
(b) Atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang dari satu perlima (1/5) dari jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Pertubuhan.
(6)   Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.
(7)  Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.
(8)      Fasal 7(1) dan 7(2) di dalam Perlembagaan ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah (1/2) jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu, maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan .
(9)    Setiausaha hendaklah menghantar kepada ahli satu salinan minit tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesai mesyuarat itu.
 



FASAL 8        JAWATANKUASA

                                                                                                                                                           

(1)  Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Pertubuhan hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Pemilihan akan dijalankan 2 tahun sekali :

Seorang Pengerusi
Dua orang Naib Pengerusi
Seorang Setiausaha
Seorang Penolong Setiausaha
Seorang Bendahari
Sepuluh orang Ahli Jawatankuasa.

(2)    Pemegang-pemegang jawatankuasa Pertubuhan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Pertubuhan ini hendaklah terdiri dari Warganegara Malaysia.
(3)      Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai boleh dipilih semual setiap 2 tahun.
(4)      Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Pertubuhan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Pertubuhan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan mesyuarat agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan menyuarat agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatan dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.
(5)       Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan.  Notis bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli jawatankuasa 7 hari terlebih dahulu. Pengerusi dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 5 orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa.  Sekurang-kurangnya setengah (½) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

(6)       Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan dari ahli-ahli jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling.  Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:

(a)     Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa;

(b)    Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan

(c)     Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.  Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam minit mesyuarat.

(7)       Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.

(8)       Jika seorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, atau dipecat mengikut Fasal 6(2),calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu.  Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

(9)       Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan Pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan Pertubuhan, dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkan mustahak.  Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Pertubuhan.

(10)     Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa.

(11)     Jawatankuasa sebelumnya hendaklah menyerahkan semua dokumen yang berkaitan dengan Pertubuhan kepada Jawatankuasa yang baru dipilih, namun masih dipertanggungjawabkan jika ada kesilapan, kerosakan, dan kehilangan semua rekod atau dokumen tersebut.
 



FASAL 9        KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI



(1)      Pengerusi, dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat.  Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan.

(2)      Naib Pengerusi hendaklah memangku jawatan Pengerusi semasa ketiadaannya.

(3)      Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Pertubuhan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah mesyuarat agung dan Jawatankuasa.  Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua rekod dan dokumen pertubuhan, kecuali buku-buku akaun dan dokumen kewangan.  Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi maklumat terperinci ahli mengikut kategori seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah kediaman tiap-tiap ahli.  Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat.  Setiausaha hendaklah dalam masa 60 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan mengirimkan penyata tahunan Pertubuhan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan, 1966.

(4)       Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.

(5)      Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Pertubuhan.  Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya.

(6)      Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah menghadiri semua mesyuarat Pertubuhan dan membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.
 


FASAL 10      KEWANGAN



(1)        Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini wang Pertubuhan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Pertubuhan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira.  Walau bagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

(2)        Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM 200.00 (Ringgit Malaysia : Dua Ratus Sahaja) pada sesuatu masa.  Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dalam tempoh 7 hari dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa.  Akaun bank itu hendaklah di atas nama Pertubuhan.

(3)        Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari akaun Pertubuhan hendaklah ditandatangani bersama oleh Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari.  Semasa ketiadaan Pengerusi, Setiausaha atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang Pertubuhan.

(4)        Perbelanjaan RM1,000.00 (Ringgit Malaysia : Satu Ribu Sahaja) dan ke bawah bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Pengerusi bersama Setiausaha dan Bendahari. Perbelanjaan yang lebih daripada RM1,000.00 (Ringgit Malaysia : Satu Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa. Perbelanjaan yang lebih daripada RM5,000.00 (Ringgit Malaysia : Lima Ribu Sahaja)bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu.
 
(5)        Penyata kewangan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-kira yang dilantik di bawah Fasal 11 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan.  Penyata kewangan dan kunci kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Pertubuhan.

(6)        Tahun kewangan Pertubuhan ini bermula dari 1hb Januari dan berakhir pada 31hb Disember tiap-tiap tahun.
 



FASAL 11       JURUAUDIT



(1)        Dua orang yang bukannya Pegawai Pertubuhan hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Juruaudit.  Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula.

(2)       Juruaudit adalah dikehendaki memeriksa penyata kewangan dan kunci kira-kira Pertubuhan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan.  Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Pengerusi mengaudit penyata kewangan dan kunci kira-kira Pertubuhan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.
 



FASAL 12     PENTADBIR HARTA



(1)        Harta yang tidak boleh dialih bagi Pertubuhan hendaklah didaftar atas nama Pertubuhan dan segala surat cara yang berkaitan dengan harta itu adalah sah dan berkuatkuasa seolah-olah suratcara itu telah disempurnakan oleh seorang tuan punya berdaftar dengan syarat bahawa suratcara itu disempurnakan oleh tiga orang pemegang jawatan Pertubuhan ini yang terdiri daripada Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari yang ada pada masa itu dan pelantikan mereka adalah disahkan oleh satu perakuan daripada Pendaftar Pertubuhan dan dimeterikan dengan meteri Pertubuhan.


(2)        Segala hak milik Pertubuhan tidak boleh dijual, ditarik balik atau dipindah hak milik dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Pertubuhan.
 



FASAL 13     TAFSIRAN UNDANG-UNDANG



(1)       Di antara berlangsungnya mesyuarat agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak jelas di dalam undang-undang ini.

(2)       Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam mesyuarat agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan mesyuarat agung.
 



FASAL 14     PENASIHAT/PENAUNG                                                              



Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat/Penaung bagi Pertubuhan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis



FASAL 15     LARANGAN

(1)       Sebarang bentuk perjudian seperti yang ditafsirkan dalam Akta Rumah Judi Terbuka, 1953 adalah dilarang kepada ahli Pertubuhan.

(2)       Pertubuhan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definisi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959.

(3)        Pertubuhan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Pertubuhan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan.

(4)      “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Pertubuhan kepada mana-mana ahlinya.

(5)       Seseorang hendaklah hilang layak daripada menjadi seorang pemegang jawatan, menjadi Penasihat atau pekerja Pertubuhan jika ia telah hilang kelayakan berbuat demikian menurut Seksyen 9A Akta Pertubuhan 1966.




FASAL 16     PINDAAN UNDANG-UNDANG



                        Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agung.  Permohonan untuk pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan mesyuarat agung meluluskan pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.
 


FASAL 17     PEMBUBARAN      



(1)       Pertubuhan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dalam suatu mesyuarat agung yang dipanggil khas kerananya.

(2)        Sekiranya Pertubuhan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Pertubuhan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam mesyuarat agung berkenaan.

(3)       Permohonan pembubaran ini hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan pembubaran itu.
 





FASAL 18   LOGO






18.1    Keterangan Rekabentuk Logo :




·         KANCIL             : Merupakan identiti utama Negeri Melaka. Ia
  melambangkan ahli MECTAS yang berkhidmat di       Melaka. Ia mencerminkan ahli MECTAS yang cepat  dan bijak dalam setiap tindakan.

·         3 ORANG           : Merupakan simbol komuniti MECTAS yang sentiasa
    bersatu hati dalam apa jua situasi.

·         WIRELESS   : Merupakan medan penghubung antara ahli-ahli
     MECTAS.
 





18.1Keterangan Warna Logo :




·           HITAM      : Melambangkan ahli MECTAS yang komited,
profesional dan berdaya saing serta mahir dalam bidang teknikal khususnya pengkomputeran.

·           KUNING  : Melambangkan ahli MECTAS yang luhur, amanah dan
Setia.

·           MERAH  : Melambangkan keberanian dalam menghadapi apa jua
cabaran serta dedakasi dalam  melaksanakan
tanggungjawab yang diamanahkan.

·           BIRU      : Melambangkan keharmonian yang diterapkan dalam
menjalinkan ukhuwah sesama ahli mactas tanpa mengira bangsa dan agama.